Home Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Pos Gedong, Bidor telah dibina pada tahun 1962 di kawasan pedalaman Banjaran Titiwangsa dalam Mukim Bidor, Perak Darul Ridzuan. Sekolah ini pada asalnya telah didirikan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ( JHEOA ) yang terdiri dari satu bangunan yang diperbuat dari kayu hutan, berdindingkan buluh, beratapkan zink dan berlantaikan simen. Bangunan yang berukuran 20' x 60' itu telah menempatkan dua bilik darjah. Ketika itu tenaga pengajar adalah dari kalangan guru-guru sandaran tidak terlatih dan pegawai-pegawai JHEOA sendiri yang ketika itu merangkap jawatan Pembantu Luar. Segala urusan pentadbiran sekolah ketika itu berpusat di SK Bidor.

Pada tahun 1996, sekolah ini telah diambilalih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah pengawasan Jabatan Pendidikan Perak. Nama Sekolah JHEOA Pos Gedong telah di tukar menjadi SEKOLAH KEBANGSAAN POS GEDONG.

Pada asalnya murid hanya seramai 46 orang sahaja dan kelas dari tahun satu hingga tahun tiga. Rentetan dari itu,  guru-guru terlatih dari Maktab  Perguruan telah mula dihantar ke sekolah dan pegawai JHEOA yang mengajar telah dihantar menghadiri kursus secara KDC dibidang perguruan oleh Kementerian Pendidikan. Guru-guru sandaran tidak terlatih pula telah diserapkan ke Maktab Perguruan yang menawarkan Kursus Perguruan Asas selama tiga tahun.

Kedudukan sekolah ini amat jauh di pedalaman dan hanya boleh dilawati menggunakan pacuan empat roda atau motosikal. Jaraknya dari pekan Bidor ialah sejauh 25 km iaitu dengan melalui jalan hutan dan denai yang berbukit-bukau dan terpaksa mengharungi tiga batang sungai yang deras yang mengambil masa 1 jam 30 minit bagi sesuatu perjalanan.

Walaubagaimanapun, sekolah ini tidaklah ketinggalan menerima arus pemodenan. Selain kemudahan rumah guru, dua blok bangunan standard telah di bina bersama kantin, rumah pam dan rumah genarator pada tahun 2000. 2 blok bangunan ini menempatkan 6 kelas harian termasuk bilik makmal, pejabat, bilik gerakan, surau dan tandas.