Perutusan Guru Besar

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt,

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat dan kasih sayangNya, kita masih lagi diberi ruang dan peluang untuk menyambut dan meneruskan lagi sesi persekolahan bagi tahun baru iaitu tahun 2012. Kehadiran tahun baru sudah pasti menuntut kita untuk bermuhasabah kembali, adakah azam yang ditanam pada tahun lepas sudah terlaksana atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Sebagai muslim yang progresif, muhasabah diri yang positif mampu menjana tranformasi ke arah yang lebih baik pada masa hadapan kerana hari ini mestilah lebih baik dari semalam dan esok mestilah lebih baik daripada hari ini.

Selamat tahun baru dan selamat kembali ke sekolah untuk sesi baru persekolahan kepada semua warga SKPG. Selamat datang dan selamat bertugas kepada guru-guru baru SKPG. Tahniah kerana anda telah terpilih menjadi sebahagian daripada warga sekolah ini. . Semoga kehadiran guru-guru baru dan kerjasama bersama guru guru sedia ada pada kali ini dapat memacu semangat kita untuk lebih cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa akan datang. Saya amat yakin kemampuan kita untuk menempuhi cabaran tahun 2012 dan tahun-tahun yang seterusnya. Hal ini kerana kita sudah pun melepasi berbagai ujian dan masalah pada tahun 2011. Alhamdulillah berkat usaha yang bersungguh-sungguh dan sikap toleransi semua pihak, serta keutuhan kesatuan yang kukuh , masalah-masalah yang mengganggu kelancaran perjalanan sekolah dapat diatasi.

Seiring dengan peredaran masa dan ketika, kita seharusnya mampu bergerak bersama-sama dalam melestarikan visi dan misi sekolah agar menjadi realiti yang dapat dikecapi, bukan sekadar angan-angan yang tidak terjejak di bumi. Pihak sekolah meletakkan harapan yang tinggi agar setiap warga SKPG bekerjasama dan berganding tenaga bagi meningkatkan kedudukan sekolah ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang akademik , kokurikulum dan sahsiah .

Tiada yang mustahil untuk SKPG mencapai kecemerlangan jika kita sama-sama meningkatkan lagi keazaman dan tekad masing-masing serta terus mengambil bahagian dan memberi sumbangan yang bermakna dari segi fizikal dan rohani dalam melaksanakan tugas. Kita adalah pemegang amanah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Oleh itu, kita patut mempunyai keazaman yang tinggi untuk memberi sumbangan dengan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan tugas dengan amanah, jujur, cekap dan adil.

Akhir kata , hanya usaha yang terancang dan berterusan akan membuahkan hasil yang cemerlang. Bersama-samalah berusaha dan bekerja kearah SKPG yang cemerlang.


Sekian, terima kasih.